Tuesday, February 14

Mereka masih punya hati.

Tekan pause pada main lagu dalam blog (kalau sudi)
Aku mempunyai empat anak . Anakku masih muda dan tidak memahami akan suka duka hidup ini . Aku akan menjaga dengan sebaik mungkin . Walaupun tempat tidur kami adalah sebuah rak kasut , kami tetap bersyukur kerana diberi tempat untuk berteduh . Aku tahu bahawa empunya rak tersebut tidak menyenangi akan kehadiranku . Malah dia pernah menghalau aku sebelum aku mendapat zuriat . Ya , aku tahu tetapi aku perlukan tempat untuk bermalam dan mungkin menjadi sebahagian daripada mereka . 

Aku juga tahu anak perempuan tuan rumah itu selalu memberi aku makan secara senyap-senyap . Kasihan aku melihat gadis comel yang tidak bersalah itu dimarahi oleh ibunya . Tetapi , saat aku bunting , aku tidak mampu untuk berhijrah ke mana-mana . Aku mahu bersedia dan aku tidak larat untuk mencari makanan lagi . Terima kasih anak kecil . Kau masih punya hati lagi . 

Si abangnya pula terlalu takut akan makhluk sepertiku . Sehinggakan aku yang sedang enak diulit mimpi di atas lantai yang agak sejuk itu dia menolakku dengan penyapu yang sedia ada di rumah itu . Sejak daripada itu , dia digelar sebagai "abang penyapu" . Hehe . Tetapi aku tidak menghalang , kerana aku tahu aku tidak layak di situ dan aku harus pergi . Tetapi mereka seperti bermain tarik tali . Mereka ingin aku pergi tetapi mereka melayan aku dengan baik sekali . Terima kasih sekali lagi . 

Pada suatu hari , sedang aku berehat di luar rumah . Aku melihat tuan rumahku membawa empat orang lelaki muda ke rumahnya . Barangkali mereka ialah sahabat kepada anak sulung tuan rumah . Aku selalu juga melihat mereka datang ke rumah . Namun kali ini , mereka berkelakuan pelik . Mereka membawa karung dan mengejar aku . Aku yang masih dalam kebuntuan berlari sekeliling rumah dan bersembunyi di rumah jiran untuk melarikan diri . Aku takut mereka apa-apakan aku . 

Tidak beberapa lama , anak lelaki itu dan tuan rumahku telah pergi . Aku keluar daripada persembunyianku dan aku ingin menceritakan segala yang aku alami tadi kepada anak-anakku . Tiba-tiba darahku berderau . Anak-anakku sudah hilang . Tidak nampak bayangan wajah mereka yang sedang kelaparan . Aku terasa bebanan yang sangat berat menimpa diatas badanku . Di mana mereka ? Manusia , dimana anakku ? Mengapa kau ambil tanpa pengetahuanku ?

Aku mencari sekitar rumah dan di dalam rumah . Pembantu rumah dan gadis cilik yang sering memberi aku makanan tidak aku jamah . Mana mungkin aku berselera dengan makanan yang lazat sedangkan anak-anakku merengek ingin susu badanku ? Aku mencari tanpa rasa jemu . Ya , itu tanggungjawabku sebagai ibu . 

Pada suatu petang , aku tidur sebentar di atas sofa yang empuk seperti biasa . Aku tahu tiada siapa yang akan menganggu aku . Tiba-tiba tuan rumah datang mendukung aku dengan cermat dan penuh kasih sayang . Aku mencuri-curi dengar perbualannya bersama anak sulungnya itu . Sepatah haram pun aku tidak faham . Selepas itu , aku didukung oleh anak sulungnya yang baru sahaja pulang dari sekolah . Tiba-tiba , aku terasa aku di suatu tempat yang aneh . Aku hairan dan merasa risau dan aku ingin si gadis itu meleraikan dukungan itu . 

Aku menjadi cuak . Mereka ingin membawa aku ke sebuah tempat . Mungkin lagi jauh dari tempat kediaman rumah tersebut . Aku bertanya mereka , dimana aku ? kalian mahu hantar aku kemana ? Aku masih lagi ingin mencari anakku yang hilang . Si tuan rumah menjawab pertanyaanku tetapi sayang , aku tidak memahami bahasa mereka . Tiba-tiba , aku terasa 'benda' yang aku duduk kini berhenti bergerak . Aku melihat wajah anak sulung itu . Matanya kelihatan berair dan sudah pun bertumpah membasahi pipinya itu . Wahai gadis , apakah maksud semua ini ?

Tiba-tiba , sebuah pintu dibuka . Aku terus keluar tanpa banyak soal . Ahh . . . Bau anak-anakku . Aku dapat merasakannya . Aku terus mencari dan terus mencari . Semakin lama aku berjalan jauh , semakin aku mengerti akan kehendak mereka . Mereka ingin aku mencari anakku . Mereka meletakkan anak-anakku di sebuah pasar . Ya , mereka masih punya hati . Mereka memahami naluri ibu yang aku miliki . Mereka tidak sanggup melihat aku yang kelaparan semata-mata mencari anak yang hilang . Terima kasih manusia . Sekiranya kau menghalau aku , aku sanggup . Sekiranya kau tidak memberi aku makan juga aku sanggup . Tetapi , biarlah anakku menyusul aku . Aku tidak mampu hidup tanpa mereka . Terima kasih kerana kalian masih punya hati . 

Mia sabar ya . Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar :'D 

Nota muzik : Saya tahu tatabahasa saya banyak salah tetapi ini kisah benar . Saya nak anda memahami rasanya menjadi seorang ibu (:

Saya sayang orang yang baca entry saya !

No comments:

Post a Comment

Berani kerana benar , takut kerana salah .